KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hari ini kerajaan kukuh mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan. 

Katanya, ia termasuk Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. 

“Tak perlu bincang, sudah ada dalam Perlembagaan. Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan, termasuk Perkara 153," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15 di Sasana Kijang, di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggesa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang bakal diadakan untuk meneliti jika kedudukan istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, wakil rakyat PKR itu juga mempersoalkan jika dasar afirmatif itu sebenarnya telah "dirampas dan dimanipulasi" segelintir golongan elit bumiputera. 

KEB 2024 yang dijadual berlangsung pada 29 Feb hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.